Ahlan WaSahlaN....

ya akhi wa ukhti seNtiasa dialu2kan menGunjungi bl0g ini....sama2 la kita beRk0ngsi paNdanGan dan iDea dalam meRealisaSikan Islam di muka Bumi iNi.....

Monday, August 9, 2010

dimaNa letakNya kewajiPan Dakwah maSa kiNi????

Apabila bercerita tentang "dakwah", ramai yang beranggapan bahawa ianya hanya sesuai untuk ahli-ahli ulamak atau orang yang belajar ilmu agama untuk menyampaikan atau menyebarkannya. Mereka turut berpersepsi bahawa perlu adanya ilmu yang tinggi lebih-lebih lagi dalam ilmu agama barulah boleh menjalankan dakwah. Ekoran sebab itulah ramai yang tidak menjalankan tugasnya sebagai "pendakwah" sedangkan apabila bergelar umat Islam khusunya kewajipan ini seharusnya dilaksanakan. Betulkah hanya mereka yang mempunyai ilmu agama yang secukupnya sahaja boleh berdakwah?Anggapan seperti inilah yang meyebabkan medan dakwah menjadi lemah dan penyebarannya semakin diabaikan oleh sesetengah pihak. Kita patut sedar bahawa kewajipan berdakwah adalah sangat penting dan menjadi kewajipan seluruh umat manusia tidak kira lelaki atau pun wanita dan tidak akan ada kecemerlangan bagi umat tanpa dakwah sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali I'mran:104 yang bermaksud "Dan hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar, Mereka inilah orang yang beruntung". 
     Untuk menjelaskan lagi skop penghayatan ini, dakwah didefinisikan sebagai usaha menyampai, mengajak atau  menyeru manusia untuk mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara dan pendekatan tertentu. Secara ringkasnya, dakwah adalah mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Dengan kata yang mudah difahami, apa sahaja kegiatan yang menunjukkan atau mencerminkan Islam itu indah, cantik dan unggul itulah yang dinamakan dakwah.Dakwah boleh disampaikan dalam pelbagai cara, kaedah atau pendekatan seperti Rasulullah yang merupakan role model pendakwah yang terbaik yang mana Baginda bertutur, bermuamalah, berperang, berdiplomasi dan sebagainya secara berdakwah. Apabila orang bertemu dengannya tertarik dengan Islam kerana Baginda sentiasa mempamerkan bahawa Islam itu indah, cantik dan unggul. Itulah yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam khususnya dalam berdakwah.
     Tidak dinafikan, dalam dunia yang serba canggih dan membangun ini, realiti pemikiran dan kehidupan manusia juga turut berubah. Oleh itu, tidak kurang hebatnya juga tentangan dan cabaran yang dihadapi oleh para daie dalam menyebarkan dakwah kini. Apa yang menyedihkan lagi, umat Islam pada hari ini hanya memejamkan mata mereka dari kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat. Lorong hidup mereka hanya menghubungkan mereka kepada rumah dan tempat kerja semata-mata. Apa yang berlaku dalam masyarakat tidak dipedulikan kerana mereka berpegang kepada konsep "kubur kamu, kamu jaga dan kubur aku, aku yang jaga". Apabila wujudnya sikap individualistik dan mengabaikan kewajipan berdakwah ini, maka akan menyebabkan persekitaran masyarakat dibelenggu dengan pelbagai anasir-anasir luar yang menghancurkan dan merosakkan umat seperti masalah sosial remaja dan sebagainya.Kewajipan berdakwah tidak seharusnya diabaikan kerana sesiapa yang meninggalkannya tidak akan cemerlang dan akan diazab oleh Allah akhirnya.
     Tambahan pula, kita sering dipanaskan oleh pihak media dengan isu-isu ajaran sesat dan menyeleweng, ajaran kepercayaan agama yang lain dari Islam dan pendedahan nilai-nilai serta budaya hidup yang negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin berleluasa sekarang. Ianya merupakan satu cabaran yang boleh dikatakan begitu hebat sekali kepada para daie dalam berdakwah kerana ajaran-ajaran ini begitu giat disebarkan dan dijalankan menerusi teknologi canggih dan penggunaan multimedia terutama internet yang begitu berkembang pesatnya di dunia hari ini. Ekoran itu, umat Islam khususnya senang dan mudah sekali terdedah kepada penyebaran maklumat yang salah mengenai Islam dan terdedah kepada nilai-nilai negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan itu, terutamanya umat Islam mahu atau tidak mahu, rela atau tidak, terpaksalah menyahut cabaran ini dengan mempersiapkan diri dengan keazaman dan keyakinan yang tinggi dalam menghadapinya.Yang pastinya, umat Islam tidak boleh menyerah kalah dan berputus asa dengan membiarkan arus perkembangan ini berlalu dan mengencam mereka begitu sahaja. Sebaliknya, haruslah bersemangat dan bangkit dari kealpaan untuk menegakkan syiar Islam melalui dakwah.  

No comments:

Post a Comment